Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersedia menimbang untuk mengecualikan atau mengurangkan yuran pengajian kepada rakyat Malaysia berumur 50 tahun ke atas yang ingin melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) di institusi pengajian tinggi awam.
Bagaimanapun Timbalan Menteri berkenaan Datuk Saifuddin Abdullah berkata, perkara itu tertakluk kepada syarat-syarat yang akan ditentukan serta akan dibawa ke kabinet untuk kelulusan.
"Ia selaras dengan hasrat kerajaan melahirkan pemegang PhD seramai 60,000 orang menjelang tahun 2023," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2011 peringkat Dasar bagi Kementerian Pengajian Tinggi di Dewan Rakyat hari ini.
Sehubungan itu Saifuddin berkata kementerian akan membelanjakan sebanyak RM483.9 juta untuk program MyBrain15 bagi meningkatkan bilangan pemegang PhD dalam negara, seperti yang diumumkan pada pembentangan Bajet 2011.
Peruntukan itu akan digunakan untuk membiayai sejumlah 7,610 pelajar sedia ada selain menyediakan 11,170 tempat baru bagi pengajian pasca siswazah di peringkat Sarjana dan PhD, kata beliau.
Untuk memperkasa aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D)di Institusi Pengajian Tinggi, Saifuddin berkata kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM741 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh (RMK-10) bagi tempoh dua tahun akan datang.
"Peruntukan dana tersebut adalah merupakan satu peningkatan yang besar berbanding dengan peruntukan dana R&D (penyelidikan dan pembangunan) bagi tempoh lima tahun di bawah RMK-9 yang berjumlah hanya sebanyak RM315 juta.
"Ini tidak termasuk tambahan peruntukan R&D berjumlah RM400 juta untuk lima universiti penyelidikan iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM)dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM)," katanya.
2 comments:
nak buat macam mana .... kau org cubalah dulu
cop aku teringin juga nak buat sarjana....tapi boleeh tak mereka terima aku ni? sijil dan ijazah aku tak ade...maklumla ngaji pondok aje...aku teringin nak buat master dlm bidang usuluddin atau fekah. camno ye?
Post a Comment