Esok, (8.9.09) akan bermula UPSR 2009. Kerja besar hampir 3 suku tahun, sampai ke klimeknya. Masing-masing sekolah seperti sudah khatam segala persediaan dan kehebatan diri bagi melunaskan tanggungjawab besar ini, di sekolah rendah. Kadang-kadang dilihat juga masih ada persaingan untuk mencipta kejutan dan kejayaan yang lebih baik daripada sekolah-sekolah lain. Ini satu persaingan yang sihat, jika dilihat dari satu sudut untuk meningkatkan pencapaian sekolah dari kayu ukur peperiksaan. Dan hasilnya akan dapat diketahui sebulan lebih dari sekarang.
Di tengah-tengah kesibukan persediaan menghadapi UPSR ini, kita dikejutkan dengan H1N1. Wpun ada sesetengah sekolah agak gawat juga sebulan yang lalu, namun hasil pemantauan dan pendidikan kepada murid-murid dan ibu bapa, dilihat memberi kesan yang positif. Keseluruhan sekolah terkawal. Namun demikian, arahan-arahan yang tiba bertubi-tubi ke sekolah untuk mengambil langkah berjaga-jaga, seperti kononnya, virus H1N1 akan menyerang murid-murid yang menduduki peperiksaan. Semua murid diarah memakai topeng muka sepanjang 3 hari peperiksaan dan sekolah juga diarah menyediakan bilik kuanrentin yang lebih besar, 2 atau 3 bilik. Nampak seolah-seolah tumpuannya bukan lagi kepada UPSR dan mendidik, tetapi seperti mengongkong pergerakan guru dan murid. Walhal, pemakaian topeng muka hanya kepada orang yang disyakki sakit (kata Pakar Perubatan Hospital Sg. Petani).
Kadang-kadang kita melihat apa yang berlaku di sekolah, seperti tempat mencari publisiti atau ruang bisnes, atau juga sebagai tempat ujikaji sesuatu dasar. Perkara-perkara yang lebih utama di dalam proses mendidik itu sendiri, seperti banyak yang terpinggir. Sebagai contoh, jika sekolah mengarahkan murid-murid membersih tandas di sekolah, ada suara-suara sinis menegur kita, mengatakan itu bukan tugas murid. Walhal jika dilihat dari sudut pendidikan, itu juga satu cara pendidikan sains kesihatan, kebersihan diri dan persekitaran.
Saya sedang menerapkan pendidikan begini kepada warga sekolah saya, agar semua warga sekolah bertanggungjawab bukan saja kepada diri tetapi juga orang lain dan persekitaran kehidupannya. Namun demikian usaha ini bukanlah senang jika kita tidak bersunguh-sungguh kerana perubahan yang lebih baik itu selalunya dilihat serong pada peringkat awal. Apapun, sekolah yang baik pastinya bermula dengan budaya sekolah yang baik.